Universiti Malaya (UM) Damansara United terpaksa bekerja keras untuk meraih kemenangan tipis ke atas Kelantan Red Warrior 1-0 saingan minggu ke-19, Liga A1 Semi-Pro di Stadium UM Arena, sebentar tadi.
Kelantan giat mengasak kubu pasukan tuan rumah selepas permainan dimulakan, namun percubaan yang dilakukan Enmanuel Mbarga berjaya ditepis penjaga gawang, Haziq Mukriz.
Advertisement
Percubaan demi percubaan yang dilakukan kedua-dua pasukan tidak berjaya dinoktahkan dengan jaringan untuk menutup babak pertama tanpa sebarang jaringan.
Selepas balik daripada bilik persalinan, anak buah Ridzuan Abu Shah tidak menunggu lama apabila Shafizi Iqmal mudah menolak masuk bola pada minit ke-49 untuk meletakkan UM-Damansara mendahului 1-0.
Tersentak dengan jaringan itu, anak buah Irfan Bakti buntu mencari jaringan penyamaan meskipun segala usaha telah dikerah jentera serangan, namun tidak menemui penyudah sehingga ke wisel penamat.
Kemenangan ini melonjakkan kedudukan skuad Kota Dam ke tangga ketiga dalam carta liga dengan 36 mata selepas 18 perlawanan.
Dalam pada itu, dalam satu lagi aksi yang berlangsung malam tadi menyaksikan empat jaringan Celso Bermejo memacu kemenangan besar Johor Darul Ta'zim (JDT) II menewaskan Perlis GSA 6-1 di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang.
Miquel Cuesta dan Alif Mutalib turut menempah nama selaku penjaring selain jaringan tunggal Perlis hadir menerusi Shukor Azmi.