Johor Darul Ta'zim (JDT) II membuktikan pengalaman menjadi pemisah utama apabila bangkit menewaskan Selangor II dalam aksi penuh dramatik Liga A1 Semi Pro sebentar tadi.
Pertembungan dua pasukan elit pembangunan negara itu berlangsung sengit hingga ke wisel penamat dengan JDT II akhirnya membawa pulang tiga mata berharga hasil kemenangan dramatik di penghujung permainan.
Advertisement
Skuad Harimau Selatan II bermula garang apabila pemain berpengalaman, Mohamadou Sumareh, hanya memerlukan lapan minit untuk membuka tirai jaringan buat pasukan pelawat.
Gol awal tersebut nyata memberi tonik tambahan buat JDT II yang lebih banyak mengawal rentak permainan pada separuh masa pertama.
Namun Selangor II tidak mudah mengalah dan berjaya bangkit sebelum tamat babak pertama menerusi jaringan Haykal Danish untuk mengikat kedudukan.
Momentum kebangkitan Selangor II diteruskan dalam separuh masa kedua apabila mereka berjaya berada di hadapan menerusi jaringan Adam Haikal pada minit ke-82.
Ketika Selangor II semakin hampir untuk meraih kemenangan penting, pengalaman pemain senior JDT II akhirnya memainkan peranan besar dalam mengubah keputusan perlawanan.
Syamer Kutty Abba muncul penyelamat apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-86 untuk menghidupkan semula harapan Harimau Selatan II.
Drama perlawanan terus memuncak dalam masa kecederaan apabila penyerang import, Ajdin Mujagic, meledak gol kemenangan buat JDT II sekali gus memastikan tiga mata penuh menjadi milik pasukan pelawat.
Kemenangan ini membuka jurang tiga mata dalam carta liga, menyaksikan JDT II kini memungut 61 mata dan selangkah untuk bergelar juara.
