Sabah terlepas peluang untuk menamatkan kemarau kemenangan apabila tewas 1-2 di tangan Imigresen dalam perlawanan Liga Super di Likas sebentar tadi.
Sang Badak tidak pernah menang sepanjang tujuh perlawanan terakhir, di mana kali terakhir mereka berhasil memperoleh kemenangan ialah ketika menewaskan Terengganu 3-1 dalam aksi liga pada 23 Disember lalu.
Advertisement
Dan mereka kelihatan hampir untuk menamatkan penantian itu apabila penyerang kebangsaan, Darren Lok, membuka jaringan pada minit ke-30 dengan tolakan kaki kanannya di depan gawang pelawat.
Bagaimanapun, hasrat kemenangan itu berkecai apabila Imigresen memperoleh sepakan penalti selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati bola terkena tangan Chris Ondong Mba dan kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya Wilmar Jordan Gil untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-75.
Nasib Sabah kian parah apabila Fayadh Zulkifli melakukan gerakan cantik di sebelah kiri sebelum menjaringkan gol kemenangan Imigresen pada minit ke-84.
Kontroversi tercetus apabila pengadil bertindak membatalkan jaringan penyamaan Dean Pelekanos selepas semakan VAR biarpun pemain itu kelihatan melakukan sepakan penjuru terus ke gawang Imigresen.
Dengan keputusan itu, Imigresen melonjak ke tangga ketujuh liga dengan 21 mata daripada 19 perlawanan manakala Sabah pula di tangga ke-10 dengan 15 mata.