Skip to main content

Sukan Lain

Meledak: Memperkasa pelapis sebagai pembawa obor perjuangan Sukan Para

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

APG

SELAMA seminggu Kontinjen Malaysia berkampung di Korat, Thailand, bagi menempuh cabaran dalam Sukan Para ASEAN (APG) 2025 yang berlangsung dari 20 hingga 27 Januari.

Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) tidak menyembunyi sasaran 55 emas, selepas meraih 50 emas pada edisi 2023 di Phnom Penh.

Advertisement

Dengan kekuatan besar membabitkan 260 atlet daripada 19 jenis sukan, diketuai Chef de Mission, Mohd Zarrawi Ravi Abdullah, renang dan olahraga terus menjadi lubuk emas negara, manakala badminton dan berbasikal diharapkan menjadi pencetus tambahan untuk mengangkat kedudukan Malaysia dalam carta pingat keseluruhan.

Dengan temasya APG 2027 bakal berlangsung di Malaysia, pencapaian di Korat menjadi batu asas penting dalam memperkukuh kredibiliti dan potensi atlet negara.

Soalnya sampai bila kontinjen negara harus menyandar harapan kepada Datuk Latif Romly, Muhammad Ziyad Zolkefli, Cheah Liek Hou dan Bonnie Bunyau Gustin, sekadar menyebut beberapa nama?

Penarikan diri Latif memberi ruang kepada Nazmi Nasri untuk memenangi emas lompat jauh T38, manakala Faris Azri, Amin Azmi dan Hashraff Muazzam Mohd Hilmin sudah boleh mengintai ruang sejurus Liek Hou mengundur diri di saat Fareez Anuar berdepan isu kelayakan.

Apakah Ahmad Shahmin Mohd Kadri dan Mohd Akmal Danish Mohd Supi dalam powerlifting boleh meneruskan kewibawaan Bonnie dan Jong Yee Khie?

Sudah tentu langkah memperkenalkan lebih ramai atlet baharu dalam APG 2025 menjadi sebahagian strategi jangka panjang menjelang APG 2027 di Malaysia dan Sukan Paralimpik Los Angeles (LA) 2028.

Usaha ini penting kerana cabaran masa depan menuntut Malaysia mempunyai pelapis yang bukan sahaja mampu menggantikan atlet legenda ini di gelanggang, tetapi juga meneruskan tanggungjawab mengibar Jalur Gemilang sebagai duta sukan para negara.

Pendedahan awal melalui pertandingan besar seperti APG membolehkan mereka membina keyakinan, kematangan dan ketahanan mental setanding para juara terdahulu.

Sokongan sains sukan, perubatan, fisiologi dan pemulihan yang dikendalikan Institut Sukan Negara (ISN) turut memainkan peranan besar memperkukuh prestasi atlet senior dan pelapis.

Secara keseluruhan, APG 2025 bukan sekadar medan memburu emas, tetapi medan membina masa depan sukan para Malaysia — memastikan legasi negara terus bersinar melalui generasi baharu yang sedia mengambil alih obor perjuangan.

Astro Arena harus kekal menyokong atlet para mahupun atlet elit!

Must Watch Video