Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Musim Manchester City masih belum berakhir – Rodri

Rodri

Jentera tengah Manchester City, Rodri, dalam satu kenyataan menyifatkan perjuangan pasukannya untuk musim ini masih belum berakhir.

City kini ketinggalan sembilan mata dalam perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris selepas seri 1-1 menentang West Ham pada Ahad, selain turut berdepan cabaran getir selepas tewas 0-3 pada aksi pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara (UCL) di Madrid.

Advertisement

Menjelang perlawanan timbal balik, Rodri menegaskan City perlu lebih tajam di hadapan gawang bagi memastikan peluang yang dicipta mampu diterjemahkan kepada jaringan.

“Kita perlu lebih klinikal. Kita perlu mengambil langkah ke hadapan dalam aspek itu,” katanya.

“Saya fikir kita sudah memiliki segala-galanya, corak permainan dan kemampuan mencipta peluang. 

“Cuma tempoh hari kita gagal memanfaatkannya, tetapi kita perlu bangkit kerana Rabu ini perlawanan penting dan kita mampu melakukannya,” katanya.

Rodri turut menegaskan saingan liga masih terbuka walaupun City kini ketinggalan di belakang Arsenal dalam perebutan takhta liga.

Menurutnya, City masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan selain bakal menerima kunjungan Arsenal di Stadium Etihad bulan hadapan.

“Kita masih hidup dalam semua pertandingan.

“Pada akhirnya mereka masih perlu datang ke tempat kita. Kita juga mempunyai satu perlawanan dalam tangan, jadi dalam bola sepak pelbagai perkara boleh berlaku.

“Memang benar ia sukar, tetapi kita akan terus berjuang sehingga ke penghujung musim. Itulah mentaliti pasukan ini,” kata Rodri lagi.

Must Watch Video