Legenda badminton Malaysia, Datuk Seri Lee Chong Wei, mengakui terkilan dengan pemain badminton kebangsaan yang melanggar peraturan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) apabila pulang lewat malam.
Bekas perseorangan nombor satu dunia itu yang kini terlibat secara langsung dalam pengurusan hal ehwal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebagai pengerusi jawatankuasa prestasi telah memberi ultimatum sebelum hukuman dijalankan.
Advertisement
“Masih terdapat beberapa pemain yang masih belum mematuhi peraturan ini dan kami akan mengeluarkan surat amaran terakhir jika mereka terus enggan.
"Jika mereka terus berbuat demikian, kami akan membawa perkara ini ke mesyuarat majlis untuk memutuskan hukuman tersebut.
“Saya akan menyerahkannya kepada ahli majlis untuk menentukan tindakan yang sewajarnya terhadap pemain yang enggan menginap di asrama,” katanya kepada The Star.
Lee Chong Wei bercakap selepas menerima laporan dan aduan tentang pemain badminton yang melanggar perintah asrama.
Ketetapan semasa adalah untuk semua pemain badminton yang belum berkahwin untuk menginap di asrama. Mereka yang sudah berkahwin dibenarkan tinggal di luar.
Olimpian berusia 43 tahun itu sendiri tinggal di asrama ibu pejabat kebangsaan sebelum berkahwin dengan rakan sepasukannya, Wong Mew Choo.
Begitupun, Chong Wei diketahui tinggal di asrama semasa kem latihan berpusat menjelang kejohanan berpasukan.
Mesyuarat majlis akan diadakan pada 24 Mei semasa Kejohanan Badminton Masters Malaysia, dijangka akan memutuskan jenis hukuman kepada pemain badminton yang terus melanggar undang-undang.