Skip to main content

Bola Sepak

Penangguhan hukuman satu petanda positif, peluang Malaysia kini 50-50 -- AFC

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

windsor john

Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia, Datuk Windsor John, berkata penangguhan hukuman yang diberikan oleh Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) terhadap tujuh pemain warisan negara merupakan satu petanda positif dan peluang Malaysia untuk memenangi kes pemalsuan dokumen itu kini 50-50.

CAS pada hujung bulan lalu menangguhkan hukuman penggantungan tujuh pemain warisan negara, yang dikenakan penggantungan 12 bulan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) atas dakwaan pemalsuan dokumen.

Advertisement

Ia bermakna, tujuh pemain berkenaan, iaitu Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel, boleh menyambung semula karier mereka buat sementara waktu sehingga keputusan muktamad diumumkan CAS.

Windsor berkata, berdasarkan pengalamannya di AFC, penangguhan hukuman itu jarang-jarang dapat berlaku dan ia menunjukkan satu petanda positif untuk kes berkenaan berakhir dengan keputusan memihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Kalau kita lihat, penangguhan ini biasanya susah nak dapat," katanya ketika bercakap sebagai tetamu jemputan dalam rancangan XI Sebelas Utama di Astro Arena malam tadi.

"Mereka minta perintah penangguhan dan CAS bagi penangguhan. Ini susah sebab had yang ditetapkan sangat tinggi.

"Jadi peluang kini 50-50 untuk menang sebab berdasarkan pengalaman kami di AFC, semua kes yang diputuskan AFC, sesiapa sahaja yang membawanya ke CAS, yang meminta perintah penangguhan, semuanya kalah, tak pernah dapat.

"Itu yang berlaku sepanjang saya menjadi Setiausaha Agung sejak 2015, tidak pernah ada satu kes di mana pihak tertuduh mendapat penangguhan.

"Seperti yang saya katakan tadi, penangguhan ini merupakan satu perkara positif untuk pemain-pemain ini.

"Tetapi, ia bukan bermakna mereka sudah menang. Ia 50-50 kerana sewaktu mendapat penangguhan itu, FIFA masih belum memberikan hujah mereka."

 

Must Watch Video