Di sebalik keghairahan aksi di padang, seorang jurugambar profesional mencuri perhatian di Piala Dunia 2026 apabila tampil dengan pendekatan luar biasa menggunakan kamera yang dihasilkan pada tahun 1930 untuk merakam detik-detik kejohanan.
Jurugambar yang menggunakan akaun Threads @fareed_kotb menjelaskan bahawa Piala Dunia 2026 merupakan edisi ketiga yang diliputinya sebagai petugas media. Namun kali ini, beliau mahu menghasilkan sesuatu yang lebih istimewa dan mempunyai nilai sejarah.
Pemilihan kamera keluaran tahun 1930 bukanlah secara kebetulan. Tahun tersebut merupakan detik bersejarah apabila Piala Dunia pertama dianjurkan di Uruguay, sekali gus menjadikan penggunaan kamera klasik itu sebagai simbolik kepada permulaan kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia.
Tidak seperti kamera digital moden yang membolehkan gambar dilihat serta-merta, Fareed menggunakan kamera berasaskan filem yang memerlukan proses pembangunan secara manual.
Disebabkan itu, hasil rakaman beliau masih belum dapat dipaparkan kepada umum kerana setiap keping gambar perlu melalui proses mencuci dan pembangunan filem yang mengambil masa beberapa hari.
Perkongsian Fareed di Threads pantas menjadi tular dan menerima pujian daripada peminat fotografi serta penyokong bola sepak yang menyifatkan usahanya sebagai gabungan unik antara sejarah fotografi dan sejarah Piala Dunia.
Ramai kini menantikan hasil akhir gambar-gambar tersebut, yang dijangka menawarkan perspektif klasik dan estetika vintaj, sekali gus memberikan sentuhan nostalgia kepada kejohanan moden yang dipenuhi teknologi terkini.