Jika anda mengikuti aksi Piala Dunia 2026, pasti anda perasan satu trend yang sukar diabaikan -- but bola berwarna merah jambu atau pink kini mendominasi padang.
Daripada bintang ternama seperti Kylian Mbappe, Erling Haaland hinggalah pemain dari negara-negara kecil, ramai memilih warna yang sama. Malah, dalam aksi pembukaan antara Mexico dan Afrika Selatan, hampir semua pemain kesebelasan utama turun beraksi dengan but dalam pelbagai tona merah jambu.
Persoalannya, mengapa warna ini menjadi pilihan utama?
Jawapannya bukan sekadar soal fesyen.
Pengeluar peralatan sukan seperti Adidas, Nike, Puma, New Balance dan Skechers semuanya melancarkan koleksi but baharu menjelang Piala Dunia 2026 dengan tema warna yang hampir sama. Walaupun menggunakan nama berbeza seperti Solar Turbo (Adidas) atau Poison Pink (Puma), objektifnya tetap serupa -- menghasilkan produk yang lebih menonjol di atas padang.
Menurut pakar pembangunan produk bola sepak New Balance, Rob Sheldon, warna terang mempunyai dua fungsi utama. Pertama, ia membantu pemain lebih mudah mengenal pasti pergerakan rakan sepasukan dalam situasi permainan yang pantas. Kedua, ia menjadikan logo jenama lebih mudah menarik perhatian jutaan penonton di stadium dan di kaca televisyen.
Namun, faktor pemasaran bukan satu-satunya penyebab.
Dalam bola sepak moden, pemain juga merupakan sebuah jenama (personal brand). Dengan jutaan pengikut di media sosial, penampilan di atas padang kini menjadi sebahagian daripada identiti mereka. Warna terang seperti merah jambu memberi keyakinan dan membantu pemain menyerlah di tengah-tengah aksi.
Nike turut mengakui permintaan terhadap warna-warna berani semakin meningkat.
Menurut Pengarah Pengurusan Produk Kasut Bola Sepak Nike, Odinga Nimako, warna merah jambu sering dikaitkan dengan keyakinan tinggi.
“Apabila anda memakai warna yang begitu terang, seolah-olah anda perlu cukup hebat untuk menggayakannya,” katanya.
Selain aspek psikologi dan pemasaran, trend ini juga sebenarnya telah diramalkan lebih awal.
Firma ramalan trend pengguna WGSN sejak 2024 sudah menjangkakan warna Electric Fuchsia, gabungan merah jambu dan ungu, akan menjadi antara warna paling dominan pada tahun 2026. Ramalan itu kini terbukti apabila hampir separuh daripada but berwarna merah jambu yang digunakan di Piala Dunia menggunakan tona tersebut.
Penganalisis WGSN, Madeline Chant, menyifatkan warna kini bukan lagi sekadar elemen reka bentuk.
“Dalam ekonomi sukan yang dipacu atlet, warna telah menjadi mata wang komersial. Ia bukan sekadar menghiasi produk, tetapi menjadi simbol budaya dan identiti,” jelasnya.
Walaupun begitu, pereka kasut terkenal Christian Tresser berpandangan fenomena ini berlaku kerana kebanyakan jenama menggunakan data trend dan analisis pasaran yang hampir sama ketika mereka bentuk produk baharu.
Ironinya, apabila hampir semua pemain memakai but merah jambu, pemain yang memilih warna lain pula menjadi lebih mudah mencuri perhatian.
Sebagai contoh, Lionel Messi menggunakan but khas Adidas El Último Tango berwarna biru muda dan putih yang diinspirasikan daripada warna bendera Argentina, manakala Christian Pulisic turut tampil dengan rekaan tersendiri.
Namun secara keseluruhannya, satu perkara jelas di Piala Dunia 2026 — jika trofi Kasut Emas menjadi simbol penjaring terbanyak, warna yang paling layak mewakili kejohanan setakat ini mungkin bukan emas, tetapi merah jambu.