Penyerang Switzerland, Breel Embolo, menangis teresak-esak sebaik diarah keluar padang kerana sengaja menjatuhkan diri.
Embolo pada awalnya kelihatan seperti menerima terjahan buruk daripada pemain tengah Argentina, Leandro Paredes, yang kemudian dilayangkan kad kuning oleh pengadil, Joao Pinheiro.
Namun, Embolo pula sebaliknya menerima padah sejurus video bantuan pengadil (VAR) campur tangan terhadap insiden di peringkat suku akhir Piala Dunia 2026 di Stadium Kansas City pada minit-72 itu.
Dan rakaman ulangan menunjukkan bahawa Embolo sebenarnya sengaja melayangkan badannya sebelum Paredes bertindak melakukan sentuhan ke atasnya.
Oleh itu, pengadil memilih untuk menarik semula hukuman terhadap Paredes, lantas mengetengahkan peraturan kesilapan identiti yang baharu diperkenalkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dalam kempen ini.
Peraturan itu menyatakan bahawa jika seseorang pemain dilayangkan kad kuning atau dibuang padang tetapi kekasaran sebenarnya dilakukan oleh pihak lawan, keputusan tersebut boleh diubah.
Embolo sudah pun dilayangkan kad kuning berikutan kekasaran di penghujung babak pertama, maka dengan dua kad kuning, dia kemudian diperintahkan keluar padang.
Kemarahan awal pemain berusia 29 tahun itu berubah menjadi tangisan dalam beberapa saat, hingga terpaksa ditenangkan rakan sepasukannya sebelum melangkah keluar padang.