Piala Dunia bukan sekadar kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia, malah menjadi sumber pendapatan terbesar buat FIFA.
Hakikatnya, badan induk bola sepak dunia itu dilaporkan mengalami kerugian operasi dalam tiga daripada setiap empat tahun. Namun, apabila tibanya tahun Piala Dunia, semua kerugian itu berjaya ditebus dengan keuntungan yang jauh lebih besar.
Bagi kitaran kewangan 2023 hingga 2026, FIFA menganggarkan jumlah pendapatan mencecah ASD13 bilion, bersamaan kira-kira RM55.3 bilion, meningkat lebih 70 peratus berbanding kitaran empat tahun sebelumnya.
Daripada jumlah itu, sekitar ASD9 bilion (RM38.3 bilion) dijangka diperoleh sepanjang 2026 sahaja, dengan sebahagian besarnya disumbangkan oleh Piala Dunia menerusi hak penyiaran, penajaan, jualan tiket, pelesenan komersial dan aktiviti pemasaran.
Sebagai organisasi bukan berasaskan keuntungan, FIFA merancang membelanjakan hampir keseluruhan hasil tersebut, dengan perbelanjaan dianggarkan mencecah ASD12.9 bilion (RM54.8 bilion). Secara rasmi, lebihan yang dibajetkan hanyalah sekitar ASD100 juta (RM425 juta).
Namun, pengalaman daripada dua kitaran kewangan terdahulu menunjukkan angka itu lazimnya jauh lebih tinggi. FIFA merekodkan lebihan sekitar ASD1.2 bilion (RM5.1 bilion) bagi setiap kitaran, mengatasi sasaran asal.
Sehingga penghujung 2025, rizab FIFA telah meningkat kepada AS$2.7 bilion (RM11.5 bilion). Selain itu, organisasi berkenaan turut memiliki kira-kira ASD1.2 bilion (RM5.1 bilion) dalam bentuk tunai serta hampir AS$6 bilion (RM25.5 bilion) dalam bon, pelaburan dan deposit.
Kedudukan kewangan yang kukuh itu amat berbeza berbanding sedekad lalu apabila FIFA bergelut dengan skandal rasuah yang mencetuskan reformasi besar dalam pentadbirannya.
Kini, Piala Dunia 2026 sekali lagi membuktikan statusnya sebagai aset paling bernilai FIFA. Dalam tempoh hanya sebulan, kejohanan itu dijangka menjana hampir RM38.3 bilion, sekali gus menjadi sumber utama pembiayaan pelbagai program pembangunan bola sepak di seluruh dunia untuk empat tahun akan datang.
Secara ringkas, Piala Dunia bukan sahaja menentukan siapa juara dunia, malah menjadi 'lubuk emas' yang memastikan FIFA terus berada dalam kedudukan kewangan yang sangat kukuh.