Pemerhati sukan BBC, Micah Richards, cekal meneruskan tugasannya biarpun menerima perkhabaran sedih bahawa bapanya baru sahaja menghembuskan nafasnya yang terakhir sebelum bersiaran sempena perlawanan di antara England dan Argentina.
Bekas pertahanan Manchester City itu sedang mengulas di Atlanta, Amerika Syarikat (AS), ketika dimaklumkan bahawa bapanya, Lincoln, baru sahaja meninggal dunia.
"Sebelum ke udara hari ini, saya menerima perkhabaran bahawa bapa, Lincoln, baru meninggal dunia. Kematiannya mengejutkan dan terlalu awal untuk beliau meninggalkan kami.
"Dia merupakan peminat tegar saya. Dia jarang terlepas perlawanan membabitkan saya. Dia akan membawa saya ke mana sahaja yang ingin saya tuju dan bapa yang paling bangga ketika saya beraksi. Kini agak janggal tanpanya di sisi.
"Saya sedar betapa besar maknanya menonton England dalam Piala Dunia dan ia mengeratkan lagi kekeluargaan dalam setiap generasi. Dia pasti ingin saya meneruskan program jadi ini yang saya lakukan.
"Dia adalah hero dan sumber inspirasiku," tulisnya di Instagram.
Micah pernah mendedahkan didikan ayahnya berjaya membentuknya sebagai seorang insan yang berjaya tatkala membesar dengan suasana dan pengaruh mencabar di Leeds.