Jaguh Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), Johor Darul Ta'zim (JDT) selangkah ke final selepas menewaskan Kuala Lumpur (KL) City 4-0 dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Cheras, sebentar tadi.
Bekalan selesa empat jaringan memastikan juara bertahan kekal dominan memburu gelaran empat kali berturut-turut menuju aksi timbal balik kedua di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) nanti.
Advertisement
Bakal tonggak naturalisasi Harimau Malaya, Bergson Da Silva, membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi rembatan kencang hasil umpanan Afiq Fazail yang memberikan kelebihan awal buat pelawat.
Penjaga gol The City Boys, Quincy Kammeraad, sekali lagi gagal menepis percubaan sepakan percuma Ager Aketxe, sekali gus JDT berada di hadapan 2-0 pada minit ke-31.
KEPUTUSAN MASA PENUH – PM SF (1)#PialaMalaysia2025-26 #LigaMalaysia #DemiLigaKita pic.twitter.com/FwjQMfWsog
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 3, 2026
Giliran Oscar Arribas menambah derita tuan rumah tatkala skuad kendalian Risto Vidakovic cuba mengatur serangan balas untuk kembali bangkit memberi saingan.
Dan, Aketxe menjadi watak penting Harimau Selatan melakar kemenangan meyakinkan menghalang juara edisi 2021 itu untuk sekurang-kurangnya mencari gol sagu hati.