Misi kami belum selesai, kata ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Xisco Munoz, meskipun pasukannya sudah selangkah ke separuh akhir Piala Malaysia selepas membenam Melaka 5-0 dalam aksi suku akhir pertama di Iskandar Puteri malam tadi.
Baginya, bekalan 5 gol yang akan di bawa ke Stadium Hang Jebat pada 25 Februari ini bukan jaminan untuk Harimau Selatan berada di zon selesa, sebaliknya mereka perlu terus bekerja keras demi memastilkan prestasi pasukan di tahap terbaik.
Advertisement
Munoz sentiasa menuntut komitmen tinggi daripada pasukannya dalam setiap perlawanan dan percaya kemenangan yang diraih ke atas Melaka mampu dijadikan suntikan semangat menjelang aksi getir, perlawanan terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) bertemu Vissel Kobe pada Selasa ini.
"Ini adalah perkara terpenting, di mana ini adalah sikap yang kami perlu tunjukkan. Kami perlu berjuang dan hormat kepada lawan," katanya dalam sidang media seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Apabila kami bertandang ke laman mereka, kami perlu membariskan kesebelasan terbaik untuk memberikan yang terbaik dalam perlawanan itu.
"Sepanjang Februari ini, kami ada lapan atau sembilan perlawanan dalam tempoh 28 hari. Ia satu situasi yang sukar dan mengundang masalah, jadi amat penting untuk kami memiliki potensi penuh dalam skuad kami bagi menghadapi semua kejohanan."
Dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) malam tadi, tiga jaringan JDT disumbangkan penyerang import kelahiran Bosnia Herzegovina, Ajdin Mujagic, selain dua lagi jaringan, masing-masing menerusi penyudah Manuel Hidalgo dan Marcos Guilherme.