Kehangatan saingan Liga Bola Sepak Piala Menteri Pendidikan Malaysia B-14 2026 semakin memuncak dengan tiga pasukan sudah mengesahkan tiket ke suku akhir.
Ia sekali gus meletakkan pencabar lain dalam misi wajib menang dalam aksi terakhir peringkat kumpulan.
SMK Shah Alam meneruskan rekod sempurna dengan empat kemenangan berturut-turut dalam Kumpulan A, manakala SMK Seri Titiwangsa turut mengunci slot ke suku akhir selepas mencatat kemenangan ketiga berturut-turut untuk mengiringi juara bertahan, SMK Taman Desa Skudai, yang gah mendominasi Kumpulan C.
Perebutan lima lagi slot ke pusingan kalah mati kekal terbuka dengan beberapa pasukan masih berpeluang meneruskan cabaran menjadikan aksi penentuan peringkat kumpulan dijangka berlangsung dalam suasana penuh debaran.
Pembantu Jurulatih SMK Seri Titiwangsa, Mohd Norfaizal Alias, berkata kepada wartawan Astro Arena, Ainul Abd Rouf: "Kami menang kesemua perlawanan dan tinggal satu lagi perlawanan, jadi kami sudah ada kelebihan mata.
"Kami mahu menang kesemua perlawanan agar (laluan) lebih mudah dalam suku akhir nanti."