Piala Dunia 2030 menyaksikan sekali lagi penganjuran melibatkan tiga negara yang akan menjadi tuan rumah iaitu Sepanyol, Portugal dan Maghribi.
Begitupun, terdapat satu perbincangan khas yang membawa kepada keputusan sebulat suara oleh Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk mengadakan tiga perlawanan pertama di Amerika Selatan.
Ia, kerana sambutan istimewa ulang tahun ke-100 Piala Dunia, dan Ahli Gabungan FIFA bersetuju untuk mengadakan tiga aksi awal itu di lokasi berlangsungnya Piala Dunia pertama pada 1930 sebelum berpindah semula ke Sepanyol, Portugal dan Maghribi.
Ini bermakna, tiga perlawanan pembukaan Piala Dunia 2030 akan dimainkan di Uruguay, Argentina dan Paraguay.
Edisi sulung Piala Dunia pada 1930 dianjurkan di Uruguay dan dimenangi pasukan tuan rumah selepas menewaskan Argentina pada final. Paraguay pula dipilih kerana menjadi lokasi ibu pejabat badan bola sepak Amerika Selatan, CONMEBOL.
"Edisi 2030 adalah pencapaian simbolik buat FIFA kerana meraikan 100 tahun sejak Piala Dunia pertama dimainkan di Amerika Selatan di tiga stadium.
"Selepas rundingan menyeluruh dengan semua konfederasi, Majlis FIFA meluluskan sambutan unik ulang tahun ke-100 Piala Dunia di Amerika Selatan, khususnya di Uruguay, Argentina dan Paraguay."
Sepanyol, Portugal dan Maghribi yang dipilih sebagai tuan rumah akan menerima kelayakan automatik ke Piala Dunia 2030.
Selain itu, Uruguay, Argentina dan Paraguay turut mengesahkan tempat dalam edisi ke-24 itu kerana menjadi tuan rumah perlawanan kumpulan sempena sambutan ulang tahun ke-100