Peminat tegar Manchester United, Frank Ilett, tidak pernah memotong rambutnya selama hampir 500 hari selepas berikrar tidak akan melakukannya selagi The Red Devils tidak memenangi lima perlawanan berturut-turut pada 2024.
Selepas kemenangan 2-0 United ke atas Tottenham pada Sabtu lalu, dia kini hanya memerlukan satu lagi kemenangan sebelum boleh merapikan rambutnya yang kian panjang.
Advertisement
Pengurus interim Manchester United, Michael Carrick, mencatatkan kemenangan keempat berturut-turut sejak mengambil tanggungjawab membimbing bekas pasukannya itu.
Kemenangan terbaru itu bukan sahaja melonjakkan peluang The Red Devils untuk ke pentas Eropah musim depan, malah ia juga bermakna peminat setia itu mungkin akhirnya berpeluang memotong rambutnya selepas perlawanan menentang West Ham awal pagi esok.
Pada 5 Oktober 2024, susulan prestasi buruk yang berpanjangan, Ilett, yang merupakan penyokong tegar United, berikrar di media sosial bahawa dia tidak akan memotong rambutnya selagi pasukan itu tidak menang lima perlawanan berturut-turut.
Menggunakan nama akaun @theunitedstrand, dia telah mengumpul lebih 1.2 juta pengikut di Instagram setakat 9 Februari 2026.
Frank semakin mencuri tumpuan seiring dengan berlalunya masa – dan rambutnya yang semakin panjang – malah "penderitaannya" itu turut mendapat perhatian pemain United.