Skip to main content

Bola Sepak

ACC Shopee Cup: Penyudah jadi penentu perjuangan hidup mati JDT

j

Kepulangan Bergson da Silva menjadi pemangkin buat Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk memadamkan kelebihan 3-1 Buriram United dalam misi hidup mati dalam Piala Shopee Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC), esok.

Bekas penyerang Brazil B-20 itu terlepas pertemuan pertama di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), namun tampak dipersiapkan untuk kunjungan ke Bangkok untuk aksi timbal balik separuh akhir bersandarkan motivasi meledak enam gol ketika Harimau Selatan menutup kempen Liga Super dengan kejayaan 3-1 ke atas The Real Warriors, Sabtu lalu.

Advertisement

Justeru, rakan sepasukannya, Nacho Mendez, mengakui jentera serangan JDT perlu melipatkan gandakan ketajaman mereka bagi mengelak daripada berputih mata kepada seteru ASEAN tersebut.

"Dia amat penting buat kami. Dia tonggak utama dan kami memerlukan penyudahnya untuk (menghidupkan peluang ke) final.

"DIa beraksi baik (tapi) perlawanan liga dan aksi antarabangsa adalah berbeza.

"Kehadirannya melegakan kami dan sekalipun ia memerlukan seluruh jentera pasukan, kehadiran dua penggempur adalah lebih baik tatkala kami memerlukan dua jaringan," katanya dalam sidang media sebentar tadi.

Malah, Mendez menegaskan keampuhan Buriram memerlukan JDT -- yang memegang rekod dunia aksi liga tanpa kalah sepanjang 108 perlawanan -- menguasai agar lebih tajam di dalam kotak penalti pihak lawan kerana setiap perincian mampu menjadi jurang permainan.

 

 

 

 

"Kami tidak (boleh mengulangi) kesilapan terlepas peluang terhidang sebagaimana ketika bertemu mereka di tempat sendiri. Lagipun Buriram akan bermain di tempat sendiri, jadi ia satu tugas sukar buat kami bangkit.

"Perlawanan ini juga mustahak buat negara dan kelab. saya harap kami dapat melakar sejarah pada hari esok," katanya.  

Sementara itu, ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz, mengulangi sentimen memburu gol kerana tiada cara lain lagi untuk mereka menghidupkan impian ke final.

"Esok merupakan satu perlawanan yang getir -- kami perlu mengawal situasi, memahami detik (berharga) permainan dengan memanfaatkan peluang terhidang.

"Adalah penting teruskan perancangan, fokus dan percaya dengan kemampuan sendiri.

"Kami hanya perlu lebih konsisten di bahagian pertahanan, 2-3 kesilapan kami sebelum ini dihukum pihak lawan.

"Penyerang dan pemain import kami perlu tampil menyerlah untuk mencapai matlamat kami," katanya. 
 

Must Watch Video