Selangor mara ke separuh akhir selepas mengikat BG Pathum 1-1 untuk muncul naib juara Kumpulan B, Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee 2025/26 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.
Selangor mengatur serangan demi serangan dalam awal permainan, namun pasukan tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Alvin Fortes dilayangkan kad merah selepas mengasari pemain lawan.
Advertisement
Begitupun, ketika BG Pathum agresif mengasak kubu pertahanan Selangor, serangan balas yang diketuai Chrigor Moraes membuahkan hasil selepas hantarannya dinoktahkan rembatan kencang Faisal Halim pada minit ke-35 untuk mendahului 1-0 dalam babak pertama.
Babak kedua menyaksikan pasukan pelawat giat mengatur jaringan penyamaan sehingga minit ke-63 apabila Richmond Ankrah tertampan masuk bola ke gawang sendiri untuk terikat 1-1.
Percaturan Kim Pan-gon memasukkan beberapa muka baru bagi menambah tenaga baru di bahagian serangan dan pertahanan tidak membuahkan hasil untuk sebarang tambahan jaringan sehigga wisel penamat dibunyikan untuk kedua-dua pasukan terikat 1-1 sekali gus menyaksikan Selangor mara ke separuh akhir.
Saingan Kumpulan A menyaksikan Buriram United muncul juara kumpulan berkongsi sembilan mata bersama skuad Gergasi Merah yang berada di kedudukan kedua.