Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, menggesa para pemain dan penyokong kelab itu agar tampil dengan semangat luar biasa menjelang perlawanan akhir Piala Liga Inggeris (EFL) menentang Manchester City di Stadium Wembley, Isnin ini.
Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu masih mengintai peluang meraih empat kejuaraan musim ini, setelah sudah hampir enam tahun mereka ketandusan trofi utama sejak menjulang Piala FA dalam musim pertama Arteta.
Advertisement
Menurut pengendali kelahiran Sepanyol itu, tempoh kemarau trofi itu jelas menjadi pembakar semangat tambahan buat seluruh pemain dalam pasukan.
“Apabila anda sudah lama tidak memenangi trofi, ia menjadikan keperluan itu lebih mendesak dan meningkatkan motivasi kerana kami benar-benar mahukannya.
“Ia amat penting buat kami dan sudah lama kami berusaha untuk mencapainya. Kini kami mempunyai peluang tersebut,” katanya.
Kemenangan Piala FA Arsenal pada 2020 berlangsung tanpa kehadiran penyokong susulan pandemik COVID-19, namun suasana kali ini dijangka berbeza dengan sokongan padu peminat di Wembley.
Arteta menyeru penyokong supaya membanjiri stadium dan memainkan peranan sebagai ‘pemain ke-12’.
“Bersama kami, berjuang untuk setiap detik perlawanan. Tunjukkan betapa kami benar-benar mahukannya dan bersama-sama kita serang final ini,” katanya lagi.
Arteta bagaimanapun enggan melayan spekulasi bahawa kemenangan itu nanti bakal membuka lembaran era gemilang baru buat Arsenal.
Sebaliknya dia menegaskan pasukan hanya memberi tumpuan kepada setiap perlawanan secara berperingkat.
“Kami perlu mengharungi setiap perlawanan satu demi satu dan memburu setiap trofi secara berperingkat.
“Hakikat bahawa kami masih bersaing dalam empat kejohanan sehingga hujung Mac menunjukkan kekuatan pasukan ini,” tegas Arteta.
Dalam perkembangan lain, Arteta yang pernah menjadi penolong kepada pengurus Manchester City, Pep Guardiola, turut menegaskan hubungan mereka kekal baik meskipun kini bersaing sebagai seteru.
“Perasaan saya terhadapnya tidak pernah berubah.
“Beliau banyak memberi inspirasi kepada saya sejak dahulu lagi dan perkara itu tidak akan berubah,” katanya.