Perjuangan skuad badminton lelaki negara dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) tamat di peringkat suku akhir apabila tewas 0-3 di tangan Jepun dalam perlawanan di Qqingdao, China malam tadi.
Perseorangan utama negara, Justin Hoh, cuba memberikan tentangan kepada Yushi Tanaka tetapi perlu akur melepaskan mata pertama negara selepas tewas aksi tiga set, 17-21, 22-20, 11-21.
Advertisement
Beregu utama, Arif Junaidi-Yap Roy King, kemudian tewas secara set langsung 14-21, 12-21 kepada gandingan senior Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, sekali gus meletakkan skuad negara berada dalam tekanan tinggi.
Perseorangan kedua, Aidil Sholeh Ali Sadiqin, cuba menghidupkan sisa perjuangan skuad negara tetapi tidak kesampaian apabila tewas 22-20, 11-21, 3-21 kepada Koki Watanabe untuk akur gagal mengelakkan kekalahan pertama Malaysia kepada Jepun dalam sejarah penganjuran BATC.
Sebagai rekod, edisi terakhir pada 2024 menyaksikan skuad negara menamatkan saingan selaku naib juara, manakala pencapaian terbaik Malaysia pula ialah bergelar juara dalam edisi di laman sendiri pada 2022.