Nama Alysa Liu semakin mencuri tumpuan dunia selepas persembahannya dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina 2026, yang membawa kepada kejayaan meraih pingat emas pertama acara figure skating wanita buat Amerika Syarikat selepas 24 tahun, tetapi kisah disebalik kejuaraan tersebut adalah kemenangan sebenar.
Liu pernah mengejutkan dunia apabila memilih untuk bersara pada usia 16 tahun bukan kerana kecederaan, tetapi kerana hilang kegembiraan dan tekanan yang terlalu berat. Keberanian untuk berhenti di kemnucak prestasi sangat jarang dilakukan atlit muda tetapi Alysa teguh dengan keputusan itu.
Advertisement
Namun selepas covid, atlit berusia 20 tahun ini kembali dengan perspektif baharu — lebih tenang, lebih yakin, dan tidak lagi terikat kepada tekanan yang diletakkan padanya. Dia kembali dangan caranya tersendiri dan kerana cintanya kepada sukan tersebut.
Hal itu nyata membuahkan hasil di Olimpik 2026, kerana persembahannya bukan sahaja bersih dan matang, tetapi jelas kelihatan di wajahnya seorang atlit yang sedang melakukan aktiviti yang memberi keseronokan pada diri tanpa tekanan memikirkan tentang soal menang dan kalah.
Kisahnya turut tular di media sosial, dengan ramai memuji caranya yang sangat bersahaja ditambah personaliti yang ditonjolkan lebih lebih lagi dengan warna rambut dan subang di gusi setiap kali atlit muda ini senyum. Video dan klip perjalanan kariernya dikongsi ribuan kali, bukan hanya kerana dia menang, tetapi kerana dia memilih untuk menjaga kesihatan mentalnya terlebih dahulu.
Daripada bersara kepada juara Olimpik, perjalanan Alysa Liu memberi pengajaran kepada atlit dan kita semua bahawa kekuatan mental itu bukan bererti tidak pernah jatuh. Ia tentang berani untuk berhenti ketika penat, mengambil masa untuk pulih, dan kembali apabila hati sudah bersedia. Mungkin, itulah kemenangan sebenar yang lebih besar daripada sebarang pingat.