Tugas berat menanti ketua jurulatih hoki negara yang baharu, Brendon Carolan, dengan tempoh persediaan yang disifatkan singkat menuju ke tiga kejohanan utama tahun ini.
Pendapat itu dilontarkan olimpian negara, Maninderjit Singh, yang menganggap kehadiran Carolan bukanlah pada masa yang sesuai.
Advertisement
Justeru, semua pihak termasuk penyokong tidak boleh meletakkan harapan terlalu tinggi, khususnya dengan baki dua bulan menuju ke ujian sulung buat pengendali dari Afrika Selatan tersebut, iaitu saingan Piala Negara-Negara 2026 pada Jun depan.
"Dalam tempoh lima bulan ini, skuad hoki akan menghadapi Piala Dunia dan Sukan Asia dan Piala Negara-Negara.
"Waktu untuk (peralihan) ini sebenarnya tidak begitu baik untuk mana-mana pasukan.
"Keputusan harus dibuat selepas Sukan Asia. Kadang-kadang tidak boleh wujudkan gelora dalam pasukan, (lagipun) motivasi pasukan juga tidak begitu bagus sebab tidak beraksi baik dalam pusingan kelayakan," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Dia turut berpendapat pertukaran jurulatih berpotensi untuk menghasilkan keputusan berbeza, namun keputusan positif atau sebaliknya tetap bergantung kepada pemain.
Bagaimanapun dia mengakui dirinya ternanti-nanti untuk melihat perubahan yang bakal berlaku susulan fasa peralihan tersebut.
"Tukar jurulatih tapi pemain tetap yang sama. Hasilnya mungkin tidak banyak perubahan di peringkat antarabangsa.
"Tahun ini (sebenarnya) bukan waktu yang tepat untuk pertukaran jurulatih sebab ada banyak kejohanan besar (yang akan dihadapi)," katanya.