Empat tahun selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bertindak pantas menggantung Rusia susulan pencerobohan ke atas Ukraine, kedua-dua badan sukan itu kini dikritik kerana dilihat lebih berhati-hati terhadap konflik terbaharu melibatkan Iran dengan Amerika Syarikat (AS) serta I***el.
Ketika Rusia melancarkan serangan ke atas Ukraine pada 2022, FIFA bersama Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), segera menggantung pasukan Rusia dan Belarus daripada semua pertandingan antarabangsa dengan sokongan IOC.
Advertisement
Namun dalam konflik terkini melibatkan serangan oleh AS-I***el terhadap Iran, IOC hanya menyeru jaminan keselamatan untuk atlet yang bakal menyertai Sukan Olimpik Musim Sejuk Milan-Cortina, Itali.
Setiausaha Agung FIFA, Mattias Grafstrom, berkata badan itu kini hanya memantau perkembangan situasi.
“Kami sedang memantau keadaan semasa,” katanya ringkas.
Pakar geopolitik sukan dari EMLyon Business School, Simon Chadwick, berkata terdapat persoalan mengenai ketidaksamaan tindakan badan sukan antarabangsa itu.
“Ramai pemerhati menyedari Rusia digantung daripada pertandingan FIFA selepas pencerobohan ke atas Ukraine, tetapi tiada perbincangan serupa mengenai tindakan terhadap AS,” katanya.
Sementara itu, pakar geopolitik sukan Universiti Rennes II, Pim Verschuuren, menyifatkan sikap berdiam diri badan sukan yang terlibat sebagai usaha mengelak daripada tekanan politik.
“Ini jelas satu bentuk pengelakan.
“Pada 2022 tekanan politik terlalu kuat sehingga IOC terpaksa menggantung Rusia.
“Hari ini, mereka tidak mampu menyinggung AS,” katanya.
Situasi ini dikaitkan dengan kepentingan politik dan ekonomi di mana AS menjadi tuan rumah Piala Dunia dan juga Sukan Olimpik seterusnya di Los Angeles pada 2028.
"Terdapat seperti monopoli kuasa berlaku dalam tadbir urus sukan.
"Sukan berada dalam tangan AS dengan pembiayaan daripada sekutu teluknya," kata Verschuuren lagi.
Walaupun IOC cuba mengekalkan jarak daripada Washington, Presiden FIFA, Gianni Infantino dilihat menjalin hubungan rapat dengan pentadbiran AS termasuk mewujudkan "Hadiah Keamanan FIFA" khas untuk Donald Trump.
"Ini melampaui batas! Tetapi secara logiknya ia masuk akal kerana mereka mahu Piala Dunia berjalan lancar," kata satu sumber yang rapat dengan badan induk bola sepak kepada AFP.
Infantino setakat ini masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai konflik tersebut.