Hasrat jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, untuk menambah koleksi pingat pada hari terakhir Sukan Komanwel Glasgow 2026 tidak kesampaian apabila menamatkan saingan acara 1,000 meter ujian masa di kedudukan ke-10.
Pemenang pingat emas acara keirin itu mencatat masa 1 minit 01.357 saat, namun ia belum cukup untuk mencabar kelompok terbaik dalam perlumbaan yang berlangsung sengit.
Pingat emas menjadi milik pelumba Australia, Leigh Hoffman, yang mempamerkan kayuhan luar biasa dengan catatan 58.530 saat, sekali gus memecahkan rekod baharu Sukan Komanwel.
Pelumba England, Joseph Truman, meraih pingat perak, manakala gangsa menjadi milik seorang lagi wakil Australia, Tayte Ryan.
Walaupun gagal meraih pingat dalam acara penutupnya, Azizulhasni tetap meninggalkan Glasgow dengan penuh bergaya selepas menghadiahkan pingat emas acara keirin buat kontinjen negara, sekali gus mengekalkan statusnya sebagai antara legenda berbasikal trek Malaysia.