Bekas penggempur kebangsaan, Safee Sali, menegaskan hasratnya untuk memikul tanggungjawab sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum pudar sekiranya diberi ruang dan peluang.
Sebagai bekas pemain yang pernah menggalas cabaran bersama skuad kebangsaan, Safee percaya beliau memahami secara mendalam realiti sebenar yang dihadapi pemain di dalam dan luar padang, termasuk isu kebajikan, struktur liga serta hal ehwal pengurusan.
Advertisement
Menurutnya, perubahan menyeluruh perlu dilakukan bagi mengangkat semula martabat bola sepak negara. Antara aspek yang diberi penekanan ialah pembangunan bakat muda secara sistematik, pengukuhan struktur akar umbi serta pentadbiran yang lebih telus dan profesional.
"Hasrat dan cita-cita masih belum pudar. Mahu bergelar Presiden FAM sentiasa perjalanan hidup saya," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Safee turut menyentuh isu tujuh pemain ‘Malaysian Abroad’ yang dilaporkan telah diberi kelulusan untuk kembali beraksi bersama kelab masing-masing.
Menurutnya, walaupun kebenaran itu diberikan, langkah tersebut tidak semestinya digalakkan dalam konteks persiapan skuad kebangsaan, khususnya menjelang aksi kedua menentang Vietnam.
Safee menegaskan segala risiko perlu diteliti, termasuk faktor kecergasan, keletihan dan potensi kecederaan, demi memastikan kekuatan pasukan kekal terpelihara.
Beliau berharap segala keputusan dibuat dengan pertimbangan profesional agar momentum dan kestabilan pasukan kebangsaan tidak terjejas dalam misi penting menentang Vietnam.