Skip to main content

Bola Sepak

Liga Super: Mujagic watak penting JDT berpesta gol di Sabah

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

mujagic

Johor Darul Ta'zim (JDT) berpesta gol dengan membelasah Sabah 6-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Likas sebentar tadi.

Bekas pemain Sabah, Ajdin Mujagic, menjadi duri dalam daging buat Sang Badak apabila menjaringkan dua gol dalam separuh masa pertama.

Advertisement

Harimau Selatan hanya memerlukan lapan minit untuk memecahkan kebuntuan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Bergson da Silva.

13 minit kemudian, Mujagic meledakkan penyudah kaki kanan yang terbias kaki pertahanan lawan untuk memberikan kelebihan dua gol buat pelawat sebelum Oscar Arribas melakukan larian di sebelah kanan untuk menambah gol, juga selepas bola terbias pertahanan Sabah, berselang empat minit.

Mujagic menjaringkan satu lagi gol sebelum ke bilik persalinan, kali ini dengan menyudahkan bola muntah susulan percubaan awal Arribas.

Pelawat menambah gol lagi, hanya selepas seminit perlawanan bersambung, di mana Manuel Hidalgo bijak mencuri bola sebaik Garry Steven Robbat tergelincir.

Dua minit kemudian Arribas menambah derita Sabah dengan gol keenam pelawat apabila menyudahkan lorongan gemilang Mujagic.

Sabah kemudian memperoleh gol sagu hati yang dijaringkan Chris Ondong Mba pada lewat permainan.

Keputusan itu memperkukuhkan kedudukan JDT di tangga teratas liga dengan 51 mata selepas 17 perlawanan.

 

Must Watch Video