Pertemuan di antara perseorangan negara, Lee Zii Jia, dan Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei, menjadi tumpuan ramai menjelang saingan Piala Thomas pada April depan apabila kedua-dua figura badminton negara itu dilihat duduk semeja pada Jumaat lalu.
Pertemuan itu bukan sekadar sekeping gambar tetapi isyarat bahawa demi negara, perbezaan boleh diketepikan dan semangat perpaduan perlu diutamakan.
Advertisement
Sebelum ini, mungkin timbul persoalan mengapa mereka tidak bekerjasama tetapi momen berkenaan dilihat sebagai satu perkembangan positif dan mungkin menjadi permulaan kepada satu era baharu demi badminton negara.
Legenda perseorangan negara merangkap juara Piala Thomas 1992, Datuk Rashid Sidek, menyifatkan pendekatan terbuka dan matang kedua-dua pihak itu sebagai langkah terbaik demi mengembalikan kegemilangan pasukan kebangsaan.
Rashid turut berpendapat Zii Jia wajar menerima tawaran yang diberikan meskipun masih dalam proses pemulihan kerana misi negara perlu diutamakan.
"BAM perlukan khidmat Zii Jia memang bersebab. Salah satunya memang dia bagus dan satu lagi, kalau boleh memang mahu memperkuatkan lagi pasukan," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zaki Zainal.
"Jadi, Chong Wei berada di situ dari sudut positif dan seboleh-bolehnya mahu Zii Jia berada dalam pasukan.
"Sebelum ini mungkin timbul spekulasi Zii Jia tidak boleh bekerjasama dengan BAM atau Chong Wei tetapi sekarang, mungkin pemikiran Zii Jia juga sudah berubah, mahu memperkuatkan pasukan negara, siapa tahu?
"Saya rasa ia merupakan satu perkembangan positif untuk pasukan kita."