Selepas satu dekad menanti, bendera Malaysia akhirnya kembali berkibar di pentas Kejuaraan Dunia Moto3 apabila pelumba muda sensasi negara, Hakim Danish Ramli, menyambar podium pertamanya di Litar Mugello, Itali, semalam.
Bagi bekas pelumba Moto3 negara, yang juga mentor kepada Hakim Danish, iaitu Zulfahmi Khairuddin, pencapaian itu disifatkan sebagai cukup luar biasa.
Ini kerana kejayaan mendapatkan tempat ketiga itu berbeza dengan kemenangan pelumba Malaysia sebelum ini, yang kebanyakannya dibantu oleh keadaan litar basah.
"Saya percaya ini adalah podium terhebat yang kita pernah ada dalam sejarah pelumba Malaysia," katanya kepada Astro Arena.
"Ini kerana kalau kita imbas kembali, sebelum ini saya, Khairul Idham Pawi dan Hafizh Syahrin, kami mendapat kedudukan podium dengan kelebihan litar basah.
"Hakim Danish pula mendapatkan podium betul-betul dalam keadaan kering dan perlumbaan yang amat tegang.
"Saya luangkan masa bersama Hakim Danish lebih daripada masa yang saya luangkan bersama anak saya.
"Ia satu perjalanan yang amat panjang dan kita sudah dapat lihat hasilnya.
"Saya percaya sukan permotoran kini bukan lagi sukan biasa buat kita kerana kita boleh menjadi pencabar hebat di peringkat dunia."