Jepun selayaknya menewaskan England, yang tampil hambar tanpa kelibat Harry Kane, 1-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Wembley awal pagi tadi.
Perlawanan itu merupakan aksi persahabatan terakhir tuan rumah sebelum pengurus, Thomas Tuchel, mengumumkan skuad terbaiknya bulan depan bagi mengharungi Piala Dunia 2026.
Advertisement
Pemain Brighton & Hove Albion, Kaoru Mitoma, menjaringkan gol pada minit ke-23, sekali gus menamatkan rekod tanpa bolos penjaga gol, Jordan Pickford, bersama England sejak Oktober 2024.
Kemenangan itu merupakan yang pertama buat Jepun ke atas England dalam empat pertemuan terakhir dan merupakan kekalahan kedua buat pasukan di ranking keempat dunia itu dalam 12 perlawanan di bawah kendalian jurulatih dari Jerman berkenaan.
Kapten dan penjaring prolifik, Harry Kane, diketepikan sebelum perlawanan bermula gara-gara kecederaan ketika latihan.
England turut melakukan banyak perubahan pemain berbanding kesebelasan utama yang seri 1-1 menentang Uruguay dalam aksi persahabatan pada Jumaat lalu.
Jepun, yang turut menewaskan Scotland 1-0 pada Sabtu lalu, kini telah memenangi kesemua lima perlawanan terakhir mereka.