Amateur Football League (AFL) bersedia menilai semula format pertandingan Liga A1 Semi-Pro bagi musim hadapan susulan penarikan diri pasukan Machan yang mencetuskan pelbagai implikasi terhadap perjalanan liga.
Ketua Pegawai Operasi AFL, Raimi Fakri Mohd Fuad, tidak menafikan bahawa kebanyakan pasukan berdepan cabaran besar musim ini, khususnya melibatkan jadual perlawanan yang panjang serta kekangan sumber.
Advertisement
Dalam temu bual bersama wartawan Zulhelmi Zainal Azam, Raimi menjelaskan bahawa format semasa diperkenalkan dengan tujuan memastikan pasukan terbaik layak ke Liga Super Malaysia selain memberi lebih minit permainan kepada pemain.
Namun, realitinya tidak semudah yang dirancang.
Selain jadual padat, faktor kewangan dan kekurangan venue sesuai terus menjadi antara kekangan utama yang dihadapi kelab-kelab bertanding.
Situasi ini menjadi lebih ketara apabila penarikan diri Machan menyaksikan jumlah keseluruhan perlawanan meningkat kepada 28 perlawanan -- lebih tinggi berbanding musim sebelumnya.
Susulan penarikan diri tersebut, Machan dikenakan tindakan tegas apabila digantung satu musim bagi kempen 2026/2027 serta didenda sebanyak RM20,000.
Kelab yang berpangkalan di Sarawak itu juga perlu memulakan semula perjalanan mereka dari Liga A3 sekiranya ingin kembali ke saingan semi-pro pada masa hadapan.
Dalam masa sama, Raimi memberi jaminan bahawa tiada pasukan lain dijangka akan mengikut jejak Machan, walaupun terdapat beberapa kelab yang sedang berdepan isu tunggakan gaji.
Dengan situasi semasa, AFL kini dijangka mempertimbangkan beberapa penambahbaikan terhadap format liga bagi memastikan keseimbangan antara daya saing, kebajikan pemain dan kestabilan kewangan kelab dapat dicapai.
Penarikan diri Machan menjadi peringatan jelas tentang cabaran sebenar dalam bola sepak semi-pro tempatan.
Kini, langkah AFL untuk menilai semula format Liga A1 Semi-Pro dilihat penting bagi memastikan kelangsungan dan daya saing liga terus terjamin pada masa hadapan.