Skip to main content

Tinju

Petinju Kenya maut selepas perlawanan tidak dihentikan awal

Petinju Kenya maut selepas perlawanan tidak dihentikan awal

Dunia tinju dikejutkan dengan tragedi menyayat hati apabila petinju Kenya, Jacob Oyoko, meninggal dunia selepas menerima pukulan bertubi-tubi dalam perlawanan profesional pertamanya.

Insiden tersebut berlaku dalam pertarungan kategori super lightweight menentang Julius Okuruchi di Mumias Cultural Center, Kakamega pada 28 Mac lalu.

Advertisement

Perlawanan yang dijadualkan selama empat pusingan itu bertukar ngeri pada pusingan kedua apabila Oyoko dilihat terperangkap di penjuru gelanggang dan menerima serangan bertali arus daripada lawannya.

Petinju berusia 38 tahun itu kelihatan gagal mempertahankan diri dengan baik -- kerap menurunkan tangan dan tidak memberikan respons berkesan terhadap pukulan yang diterima.

Walaupun jelas berada dalam keadaan berbahaya, pengadil tidak segera menghentikan perlawanan, sebaliknya membenarkan aksi diteruskan.

Perlawanan akhirnya dihentikan selepas Oyoko mengalami kecederaan yang ketara, dengan Okuruchi diumumkan pemenang menerusi kemenangan teknikal knockout (TKO).

Kedua-dua petinju dilaporkan masih mampu berjalan keluar dari gelanggang, namun keadaan Oyoko merosot secara drastik di belakang pentas.

Mangsa mengadu lemah dan sukar bernafas sebelum rebah. Pasukan perubatan segera memberikan bantuan kecemasan termasuk CPR dan oksigen sebelum dikejarkan ke hospital.

Namun, segala usaha menyelamatkannya gagal apabila Oyoko disahkan meninggal dunia.

Kematian ini mencetuskan persoalan besar terhadap aspek keselamatan dalam sukan tinju di Kenya, termasuk tindakan pengadil yang didakwa lewat menghentikan perlawanan.

Kenya Professional Boxing Commission telah mengarahkan siasatan menyeluruh termasuk laporan perubatan lengkap serta bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Lebih membimbangkan, Oyoko dilaporkan hanya menerima tawaran perlawanan tersebut dua hari sebelum aksi berlangsung, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap kesiapsiagaan dan kelayakannya untuk bertanding.

Insiden ini menjadi peringatan pahit bahawa keselamatan atlet harus sentiasa menjadi keutamaan. Dalam sukan berisiko tinggi seperti tinju, setiap detik kelewatan dalam membuat keputusan boleh membawa akibat yang tidak dapat diperbaiki.

Sumber: Boxing Socials

Topik Berkaitan

Must Watch Video