Skip to main content

Pickleball

Mega Iftar Pickleball satukan 120 penggiat daripada 33 kelab, cipta sejarah komuniti sukan

pickleball

Komuniti pickleball tempatan melakar detik bersejarah apabila hampir 120 pemain dan peminat daripada 33 kelab berhimpun dalam Program Mega Iftar yang berlangsung dalam keadaan meriah, semalam.

Inisiatif yang dimulakan oleh Kelab Bangi Picklers itu bertujuan mengeratkan perpaduan serta menyemarakkan ukhuwah sesama penggiat sukan pickleball melalui penganjuran aktiviti berteraskan komuniti.

Advertisement

Majlis itu menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk penyediaan lebih 16 jenis juadah berbuka puasa, permainan mini, perlawanan pertunjukan, cabutan bertuah serta pertunjukan bunga api. 

Program gotong-royong turut diadakan seperti memasak bubur lambuk untuk diagihkan kepada masyarakat setempat.

Wakil Persatuan Pickleball Selangor, Prof. Madya Dr. Mohamad Rahizam berkata program seumpama itu mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan lain untuk memperkasa elemen komuniti.

“Program ini menghimpunkan kelab-kelab berbeza untuk bersama-sama dan mungkin boleh menjadi inspirasi kepada sukan-sukan lain juga.

“Sukan bukan sekadar dimainkan dalam pertandingan semata-mata, sebaliknya boleh dikembangkan kepada pelbagai aktiviti lain yang memberi manfaat kepada komuniti,” katanya.

Sementara itu, jurulatih bertauliah, Emeel Rizal Mohd Nordin menyifatkan pendekatan penganjuran aktiviti seperti ini berjaya menarik lebih ramai penyertaan baharu dalam komuniti pickleball.

“Bagi komuniti pickleball di sini, setiap hari akan ada aktiviti dan kami tidak hanya bergantung kepada penyewaan gelanggang semata-mata.

“Kami menganjurkan aktiviti sendiri bagi memastikan komuniti baharu terus berkembang.

“Sukan sememangnya baik untuk kesihatan, namun komuniti yang menjadikannya lebih meriah dan menarik,” kata Emeel.

 


 

Topik Berkaitan

Must Watch Video