Dominasi pelumba R-Engineering, Leon Khoo, sukar digugat ketika menjuarai pusingan kedua Perlumbaan Kedua Malaysian Touring Car Championship (MTCC) 2026 kategori TP dengan catatan masa 34:42.519 saat hari ini.
Lebih manis, kejayaan yang dilakar di Sepang itu menyaksikan Leon merekodkan kejuaraan keempat berturut-turut selepas empat perlumbaan setakat ini.
"Jentera saya mantap dan pasukan saya cemerlang membuat persediaan ini.
"Bukan untuk memperoleh kedudukan ini memandangkan ia memerlukan kerjasama sepasukan.
"Catatan kami agak perlahan dalam pusingan ini berikutan kami perlu membawa muatan tambahan sebanyak 30kg.
"Ia menuntut tahap fizikal saya untuk menempuhi jarak perjalanan sejauh 300km dalam 34 pusingan perlumbaan ini," kata Leon.
Melengkapkan podium di kedudukan kedua ialah pelumba Skuber Race Team, Jonathan Xie, di samping pelumba Papaya Pay Racing, Arif Hanafiah, yang melengkapkan kedudukan ketiga.
Sementara bagi kategori TP Two, pelumba kelahiran Jepun dari pasukan R Works Riyoz Racing, Ken Urata, muncul juara apabila mengenepikan cabaran pesaingnya, Chiow Teck Song, dengan catatan 36:29.626s.
"Saya anggap bertuah atas dua kemenangan ini. Dengan cuaca panas ini, kami perlu menguruskan keadaan tayar selain menuntut ketahanan fizikal.
"Kami perlu lakukan persediaan yang lebih baik dalam perlumbaan akan datang," katanya.