Media sosial kecoh apabila nama tonggak Selangor, Mukhairi Ajmal Mahadi, menjadi bualan peminat selepas pertemuan menentang Kuching City dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia, Sabtu lalu.
Kualiti permainannya dipertikai penyokong Gergasi Merah kerana tidak dapat membantu pasukannya mara ke final.
Advertisement
Terjahan kerasnya ke atas pertahanan tuan rumah, Jimmy Raymond, mengundang kemarahan, sekali gus dilayangkan kad merah usai pengadil meneliti insiden tersebut melalui video bantuan pengadil (VAR).
Ulang tayang menyaksikan pemain berjersi nombor 10 itu gagal mengawal bola dengan kemas dan terpaksa menerjah ke arah Jimmy, namun sebaliknya berlaku dan Mukhairi dihukum.
SELANGOR KINI BERAKSI BERSAMA HANYA 9 PEMAIN! 😰
Beberapa minit selepas Safuwan Baharudin dilayangkan kad merah, kini Mukhairi Ajmal pula ditunjukkan kad merah selepas terjahan keras ke atas pertahanan Kuching City, Jimmy Raymond#DemiLigaKita #PialaMalaysia202526 pic.twitter.com/l49H77bcb2— Astro Arena 🇲🇾 (@ASTROARENA) April 18, 2026
Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga tatkala 15 minit sebelum itu, Safuwan Baharudin terlebih dahulu dilayangkan kad merah susulan menafikan pergerakan Ronald Ngah Wanja.
Video tersebut dihujani komen yang mempersoal tentang prestasi dan gaya permainannya sejak menyertai skuad kendalian Kim Pan-gon sejak lima musim lalu pada 2020.
Meninjau laman transfermarkt, kontrak pemain berusia 24 tahun itu bakal berakhir pada penghujung Mei depan.
Sepanjang bersama Selangor, Mukhairi menjaringkan 15 gol selain mencatatkan 133 penampilan.