Ketua jurulatih skuad bola sepak wanita negara, Joel Cornelli, memberikan bayangan untuk melakukan rombakan dalam kesebelasan utama pasukannya menjelang aksi hidup mati perlawanan terakhir Kumpulan A Piala AFF 2026 menentang Singapura Khamis ini.
Tiada apa yang diharapkan pengendali kelahiran Brazil itu selain aksi terbaik daripada Malayan Tigress yang berdepan misi buru slot ke pentas separuh akhir buat julung kalinya di saingan Piala AFF.
Dia percaya tempoh persiapan lima hari yang dijalani anak buahnya telah dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memperbaiki segala kelemahan yang Ada terutamanya ketika seri 1-1 menentang Laos Jumaat lalu.
"Kami telah berlatih dan melakukan beberapa pertukaran. Kami mungkin akan mengubah taktikal dan barisan pemain untuk menghadirkan elemen kejutan dalam perlawanan akan datang," kata Joel.
"Kami perlu menang, kami tidak mahu bergantung kepada keputusan seri jadi tiga mata menjadi sasaran pasukan."