Meskipun menewaskan petarung Laos, Petkiattisak O Sansuk, menerusi keputusan sebulat suara dalam aksi ONE Championship semalam, 'Magic Boy' Rifdean Masdor menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap prestasinya.
Rifdean mengakui gagal menemui rentak sebenar serta tidak dapat menampilkan kombinasi serangan agresif, yang menjadi identitinya selama ini.
Advertisement
Dia menyifatkan lawannya sebagai seorang petarung yang sangat kental dan mempunyai daya tahan yang tinggi.
Faktor perubahan sistem latihan serta perbezaan pendekatan antara pertarungan tiga dan lima pusingan menyebabkan dia sedikit kekok di atas gelanggang.
Bagaimanapun, Rifdean berjanji akan kembali dengan corak permainan lebih memukau dalam aksi seterusnya pada Oktober depan.
Bintang Muay Thai negara itu menegaskan misi utamanya ketika ini adalah untuk memburu kontrak rasmi ONE Championship demi merealisasikan impian menentang jaguh Jepun, Nadaka Yoshinari, yang menjadi pertarungan idamannya sejak sekian lama.
Untuk rekod, anak kelahiran Sarawak itu terus konsisten melakar kecemerlangan dengan mencatatkan kemenangan keempat berturut-turut.
"Insya-Allah saya akan kembali kepada cara saya semula dalam perlawanan seterusnya," katanya kepada Astro Arena.
"Saya sudah tidak mahu ikut cara orang, saya mahu teruskan dengan corak dan cara saya sendiri.
"Saya mahu kejar kontrak untuk bertemu Nadaka, itu adalah cita-cita saya.
"Saya tidak kisah saya menang atau kalah, yang penting saya dapat kontrak dan dapat lawan dia."