Tahun 2028 dijangka bakal membuka lembaran baharu buat pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli.
Langkah ke pentas Moto2 sudah berada dalam radar tetapi dia enggan terburu-buru menoktahkan impian itu.
Tegasnya, tanpa prestasi konsisten, impian untuk beraksi dalam Moto2 hanya akan kekal sebagai angan-angan.
Bagi pelumba kelahiran Terengganu itu, konsistensi dalam setiap perlumbaan menjadi ukuran paling penting dalam menentukan sama ada seseorang pelumba itu layak melangkah ke kategori lebih tinggi.
Dia akui masih belum berpuas hati dengan pencapaian yang diraihnya setakat ini dan percaya masih banyak ruang yang perlu diperbaiki sebelum benar-benar bersedia menggalas cabaran dalam Moto2.
"Saya meletakkan sasaran setahun lagi dalam Moto3 sebelum melangkah ke kategori berikutnya," katanya kepada wartawan Astro Arena, Husna Zainudin.
"Tetapi ia bergantung kepada prestasi saya. Jika prestasi saya bagus, barulah saya boleh naik kategori dan jika tidak, mungkin tidak boleh juga.
"Saya tidak memikirkan mengenai kontrak atau pasukan seterusnya, saya serahkan kepada pihak pengurusan.
"Saya hanya fokus untuk menghabiskan perlumbaan tahun ini dengan keputusan yang bagus.
"Kerana apabila saya mendapat keputusan yang bagus, semuanya akan berjalan dengan lancar."