Seperti kebiasaan, Australia sekali lagi dipilih menjadi lokasi terbaik skuad kebangsaan lakukan persiapan terbaik dari 7 hinggan 16 Jun di Perth bagi menghadapi Kejohanan Asia yang akan berlangsung di Hong Kong pada 8 hingga 15 Ogos depan.
Edisi kali ini cukup penting kerana mempertaruh slot ke Kejohanan Dunia 2027 yang akan berlangsung di Perth juga.
Seramai 16 pemain dibawa menyertai kem latihan pendedahan ini bagi memberi peluang kepada barisan kejurulatihan menilai prestasi yang berpotensi sebelum pemilihan skuad akhir dilakukan. Proses pemilihan masih berjalan dan hanya 12 pemain terbaik akan disenaraikan dalam skuad rasmi selepas kem terakhir yang dijadualkan pada 30 Julai nanti.
Menurut sasaran yang ditetapkan, skuad negara perlu menamatkan saingan dalam kelompok dua terbaik Kejohanan Asia bagi melayakkan diri ke Kejohanan Dunia 2027.
Sepanjang berada di Perth, skuad negara dijadual mengharungi empat perlawanan ujian menentang pasukan tempatan iaitu Rangers Open Team, Roar bawah 21 tahun (B-21), Rangers B-21 dan Warriors B-21. Selain itu, mereka turut menjalani lapan sesi latihan bersama jurulatih berpengalaman, Lisa Beehag -- bagi memperkukuh aspek teknikal, taktikal serta kecergasan pasukan.
Dalam masa sama, pembantu jurulatih kebangsaan, Puah Pei San, sempat berkongsi perkembangan positif yang ditunjukkan pemain selepas terlibat dalam saingan Celcomdigi Netball Super League (NSL) yang memberi manfaat besar kepada skuad kebangsaan.
NSL turut dilihat sebagai platform terbaik untuk pemain Malaysia menimba pengalaman serta mengikuti perkembangan semasa permainan pada tahap yang lebih kompetitif. Peningkatan kualiti saingan musim ini membantu pemain menjadi lebih bersedia dari segi fizikal dan mental, sekali gus memberikan petanda positif terhadap persiapan skuad kebangsaan menjelang Kejohanan Asia nanti.