Skip to main content

Bola Sepak

Piala Dunia 2026: Layanan 'double standard' Messi, terlepas kad merah terjah lawan

Piala Dunia 2026: Layanan 'double standard' Messi, terlepas kad merah terjah lawan

Kapten Argentina, Lionel Messi, mencipta sejarah baharu di Piala Dunia 2026 apabila meledak hatrik ketika membantu juara bertahan itu menewaskan Algeria 3-0 dalam aksi Kumpulan J.

Tiga gol yang dijaringkan legenda berusia 38 tahun itu membolehkannya menyamai rekod jaringan terbanyak sepanjang sejarah Piala Dunia milik Miroslav Klose dengan 16 gol.

Messi membuka tirai jaringan pada minit ke-17 sebelum menambah dua lagi gol untuk memastikan Argentina memulakan kempen mempertahankan kejuaraan dengan kemenangan bergaya.

Namun, aksi cemerlangnya turut dibayangi kontroversi apabila beliau terlepas daripada sebarang hukuman selepas melakukan terjahan berbahaya ke atas pemain pertahanan Algeria, Aissa Mandi.

Insiden itu berlaku tidak lama selepas gol pembukaan Argentina apabila Messi dilihat mengasari Mandi menerusi terjahan menggunakan tapak kasut.

Pengadil hanya menghadiahkan sepakan percuma kepada Algeria tanpa mengeluarkan kad kuning atau merah, walaupun semakan VAR turut dilakukan.

Keputusan tersebut mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan penyokong bola sepak di media sosial, dengan ramai berpendapat bintang Argentina itu sepatutnya dilayangkan kad merah.

Seorang peminat menyifatkan insiden itu sebagai “kad merah paling jelas” manakala seorang lagi mendakwa Messi bernasib baik kerana tidak dikenakan tindakan disiplin.

Walaupun kontroversi itu terus diperkatakan, Messi kekal fokus kepada kemenangan pasukannya dan enggan terlalu memikirkan rekod yang dicapainya.

“Ia satu penghormatan. Tetapi angka seperti ini hanyalah statistik. Saya tidak terlalu memberi perhatian kepada perkara tersebut,” katanya.

Messi turut menyebut nama Cristiano Ronaldo dan Kylian Mbappé ketika ditanya mengenai rekod tersebut.

“Ronaldo adalah antara pemain terbaik sepanjang zaman, tetapi dia juga tidak berada di tangga teratas. Jadi bagi saya, ia hanyalah statistik,” katanya lagi.

Beliau turut memuji persembahan Argentina yang dianggap bermain dengan penuh kematangan hasil pengalaman menjuarai edisi lalu.

“Kami mengawal permainan dengan baik dan menggunakan pengalaman yang kami ada. Dalam Piala Dunia, tiada apa yang datang dengan mudah,” katanya.

Kemenangan itu meletakkan Argentina dalam kedudukan terbaik untuk mara ke pusingan seterusnya, manakala Messi sekali lagi membuktikan dirinya masih mampu menjadi watak utama di pentas terbesar bola sepak dunia.

Namun, di sebalik malam bersejarah tersebut, perdebatan mengenai terjahan kontroversinya terhadap Mandi dijangka terus menjadi topik hangat dalam kalangan peminat dan pemerhati bola sepak dunia.

 

Anda mungkin berminat dengan

adidas Football DFB GERMANY METAL BOTTLE Unisex White KF4127

adidas Football DFB GERMANY METAL BOTTLE Unisex White KF4127

adidas Football Mexico 26 Home Pre Match Jersey Men Green JY5485

adidas Football Mexico 26 Home Pre Match Jersey Men Green JY5485

LEGO Editions Sports 43020 FIFA World Cup Official Trophy (2842 Pieces)

LEGO Editions Sports 43020 FIFA World Cup Official Trophy (2842 Pieces)

adidas Football Spain 26 Home Fan Jersey Men Red JZ5780

adidas Football Spain 26 Home Fan Jersey Men Red JZ5780

adidas Football Argentina 26 Home Pre Match Jersey Men White JY9530

adidas Football Argentina 26 Home Pre Match Jersey Men White JY9530

Must Watch Video