Pertahanan Iran, Ramin Rezaeian, mengakui sudah terlalu letih dengan nasib yang sering tidak memihak pasukannya sepanjang Piala Dunia 2026.
Iran separutnya mengesahkan kelayakan ke pusingan kedua setelah Shoja Khalilzadeh menjaringkan gol kemenangan untuk menumbangkan Mesir 2-1 pada penghujung perlawanan aksi terakhir Kumpulan G hari ini, hanya untuk jaringan itu dibatal dengan penuh kontroversi selepas semakan video bantuan pengadil (VAR).
Ia menyaksikan kemaraan pasukan itu ke pusingan kedua perlu ditentukan melalui kedudukan pasukan tempat ketiga terbaik, di mana hanya lapan pasukan teratas di kedudukan itu akan layak.
Umum mengetahui betapa Iran berdepan kesukaran sepanjang kempen kali ini gara-gara masalah visa berikutan ketegangan politik di antara negara mereka dengan negara tuan rumah, Amerika Syarikat.
Ramin, yang menjaringkan gol penyamaan Iran pada minit ke-14, berkata dia dan rakannya sudah terlalu penat dengan kesukaran dan nasib yang sentisa tidak memihak pasukan mereka.
"Sejujurnya saya letih, saya perlu kekal kuat tetapi saya tidak tahu apa yang sedang berlaku kepada Iran, tak tahu apa yang sedang berlaku dengan bola sepak kita kerana saya tidak dapat lihat sebarang nasib baik buat pasukan kami, di mana kami selayaknya menang.
"Kami hanya boleh memohon maaf kepada rakyat kami di Iran kerana mereka layak mendapat lebih kegembiraan daripada ini.
"Kami telah memberikan yang terbaik dan saya harap Tuhan akan memberikan kami sedikit rezeki untuk ke pusingan seterusnya."