Meskipun diundi dalam kumpulan maut bersama tiga pasukan pilihan, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak, percaya Malaysia mampu mencipta kejutan mara ke suku akhir di pentas Piala Dunia FIH Belgium-Belanda 2026.
Sedar tugas berat menanti, Ahmad Najmi menggesa The Speedy Tigers agar tidak mengibarkan bendera putih sebelum turun berjuang mengharungi cabaran Kumpulan B yang menempatkan juara bertahan, Jerman, Belgium dan juga Perancis.
Malaysia dijadual membuka kempen menentang Jerman pada 15 Ogos, diikuti Perancis dua hari kemudian sebelum menutup aksi kumpulan berdepan tuan rumah pada 19 Ogos sambil hanya dua pasukan terbaik akan mengesahkan tempat ke suku akhir.
"Dalam Piala Dunia, Cape Verde mampu ikat Argentina, Jerman pun boleh kalah kepada Paraguay.
"Jadi pesan saya kepada pemain supaya kerja keras dan ikuti perancangan, tiada yang mustahil.
"Kita perlu bermain cara sendiri dan ada peluang. Kita perlu (tetap optimis) dengan harapan untuk ke suku akhir," katanya dalam sidang media hari ini.
Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Brendon Carolan, menaruh kepercayaan penuh kepada barisan 20 pemain yang disenaraikannya bagi mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).
"Ia juga boleh jadi peluang terbuka, terpulang bagaimana anda melihatnya.
"Andai ingin layak ke Sukan Olimpik, kami perlu mengatasi pasukan besar dan itulah hakikatnya.
"Kami bekerja keras dalam aspek bertahan dan memperbaiki kelemahan.
"Kami kini mengawal permainan lebih baik dan kurang melakukan kesilapan," katanya pula.