Tonggak KL City, Safawi Rasid, menganggap pertemuan menentang Terengganu sebagai perlawanan cukup istimewa namun menegaskan nilai sentimental itu sama sekali tidak akan mempengaruhi aksinya di atas padang.
Ketika ditemubual wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Safawi menyatakan tekadnya untuk memastikan The City Boys pulang dengan senyuman sekaligus mengulangi kejayaan ke atas skuad Peteh dalam aksi Liga Super sebelum ini.
Advertisement
Ini merupakan kali kedua Safawi akan bertemu Terengganu sebagai pemain KL City musim ini.
Pertemuan pertama menyaksikan penyerang Harimau Malaya itu berperanan penting memacu The City Boys meraih kemenangan 1-0 menerusi jaringan Paulo Josue.
Meskipun sekali lagi berdepan sentimen kenegerian, Safawi tegas dengan sikap profesional demi misi meraih bekalan selesa di tempat lawan.
"Sudah tentu bertemu Terengganu cukup istimewa. Saya berharap untuk meraih keputusan positif sebelum menghadapi perlawanan timbal balik," kata Safawi.
"Terengganu memiliki strategi yang baru ketika mereka bertemu Selangor, namun bermain selama 90 minit, apa sahaja boleh berlaku."
Jurulatih sementara Terengganu, Tengku Hazman Raja Hassan, mengharapkan penyerang baharu, Gervane Kastaneer, mampu membuktikan statusnya sebagai penggempur berbisa, seiring dengan reputasi yang dimiliki.
Kastaneer dijangka membuat penampilan di pentas Piala Dunia bersama Curaçao yang melakar sejarah layak buat kali pertama ke kejohanan yang akan diadakan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, Jun ini.
"Saya mengharapkan Kastaneer menghadirkan jaringan buat pasukan walaupun baru sahaja bersama pasukan," katanya.