Pengajian Sains Sukan di universiti bukan lagi dianggap sebagai bidang sampingan atau sekadar berkaitan aktiviti riadah semata-mata.
Revolusi dalam bidang ini telah membuka mata masyarakat bahawa Sains Sukan merupakan cabang ilmu profesional yang memainkan peranan besar dalam pembangunan atlet, kesihatan masyarakat, teknologi sukan dan kecemerlangan negara. Universiti kini menjadi pusat utama melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir dalam teori sukan, malah berupaya menjadi jurulatih, saintis sukan, pegawai sukan prestasi tinggi dan pemimpin sukan bertaraf antarabangsa.
Kita tidak mahu lagi kepimpinan sukan dipegang oleh orang politik akan tetapi ia perlu ditadbir urus oleh ahlinya yang mahir dan tahu tentang keperluan dan saintifik sukan. Melalui revolusi pendidikan Sains Sukan, universiti berperanan sebagai medan mencungkil bakat dan potensi generasi muda sejak awal.
Pensyarah dan pakar sukan bukan hanya mengajar di bilik kuliah, tetapi turut turun padang melakukan penilaian prestasi, analisis biomekanik, ujian kecergasan, pemulihan berkesan dan pembangunan mental atlet. Sentuhan manusia dalam bidang ini amat penting kerana bakat seseorang atlet tidak hanya dapat diukur melalui keputusan peperiksaan, sebaliknya perlu dikenal pasti melalui pemerhatian, pengalaman, bimbingan berterusan dan yang paling utama menyentuh sanubari, jiwa dan qalbu.
Selain itu, pengajian Sains Sukan moden turut mengintegrasikan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI), analisis data prestasi, sensor biomekanik, virtual reality dan wearable devices dalam latihan atlet. Pendekatan ini membolehkan universiti membantu meningkatkan prestasi atlet secara saintifik dan sistematik.
Revolusi teknologi dalam sukan juga menjadikan graduan Sains Sukan lebih kompetitif dan bersedia menghadapi keperluan industri sukan global yang semakin berkembang pesat. Bidang Sains Sukan kini menjadi bidang penting dalam menaikan imej dan ekonomi sesuatu negara di mata dunia. Dalam usaha menjayakan dasar “1 Murid 1 Sukan”, universiti memainkan tanggungjawab besar dalam menyediakan tenaga pakar dan sistem latihan berkualiti kepada sekolah dan komuniti.
Graduan Sains Sukan boleh menjadi agen perubahan yang membantu membudayakan gaya hidup aktif serta meningkatkan penyertaan sukan dalam kalangan pelajar. Secara tidak langsung, universiti menjadi pemangkin kepada pembangunan akar umbi sukan negara bagi melahirkan lebih ramai bakat muda yang berpotensi menjadi atlet elit pada masa hadapan. Persaingan sukan yang sengit di peringkat sekolah adalah bukti nyata, sukan bukan lagi dominasi sekolah projek sukan semata mata.
Cikgu sukan lulusan universiti berjaya membentuk atlet sukan yang hebat dan berdaya saing di peringkat akar umbi. Di samping melahirkan juara sukan, pengajian Sains Sukan juga berperanan membentuk kepimpinan dan sahsiah pelajar. Atlet dan graduan yang terlibat dalam bidang ini di didik dengan nilai disiplin, kerjasama berpasukan, komunikasi, daya tahan mental dan semangat patriotisme.
Nilai-nilai ini amat penting dalam melahirkan pemimpin masa hadapan yang bukan sahaja cemerlang dalam kerjaya, malah mampu menjadi contoh kepada masyarakat dan negara. Kita boleh lihat contoh di negara luar seperti Imran Khan (Pakistan), Manny Pacquiao (Fillipina), George Weah (Liberia), Vitali Klitschko (Ukraine) dan lain lain, ikon sukan negara mereka diangkat sebagai senator, datuk bandar dan pemimpin negara. Universiti juga perlu memperkukuhkan jaringan kerjasama dengan institusi sukan, industri, sekolah, kementerian dan badan antarabangsa bagi memperluaskan peluang latihan serta penyelidikan. Hubungan strategik ini mampu meningkatkan kualiti pendidikan dan membuka ruang kepada pelajar untuk memperoleh pengalaman sebenar dalam dunia sukan profesional.
Melalui kerjasama ini, inovasi baharu dalam bidang rehabilitasi, kecergasan, psikologi sukan dan teknologi sukan dapat dibangunkan demi manfaat atlet negara. Kita tidak mahu lagi bergantung kepada kepakaran dan alatan luar negara yang melibatkan kos yang tinggi. Oleh kerana itu, bidang pengajian sains sukan di Universiti memainkan peranan penting untuk membantu menghasilkan tenaga kerja mahir dan produk buatan Malaysia yang boleh menaikan sukan dan ekonomi Negara.
Tambahan pula, revolusi Sains Sukan perlu disokong dengan pembangunan penyelidikan dan inovasi berimpak tinggi. Universiti harus menjadi pusat rujukan utama dalam menghasilkan kajian berkaitan kecederaan sukan, pemakanan atlet, prestasi manusia dan teknologi pemulihan sukan. Pendidikan dan penyelidikan yang berkualiti bukan sahaja membantu meningkatkan pencapaian atlet negara, malah mampu menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan Sains Sukan di rantau Asia sekaligus menaikan nama negara di Mata Dunia seperti Jepun dan Korea Selatan.
Kesimpulannya, reformasi Pengajian Sains Sukan Universiti merupakan satu agenda penting dalam membina masa depan sukan negara yang lebih gemilang. Bidang ini bukan sekadar melahirkan atlet, tetapi turut membentuk juara berilmu, pemimpin berkarisma dan ikon negara yang mampu mengharumkan nama Malaysia di persada dunia. Ia bukan sekadar hiburan sahaja akan tetapi pemangkin inspirasi dan motivasi rakyat Malaysia untuk berdaya saing dan berada di puncak dunia. Dengan sokongan semua pihak, pengajian Sains Sukan mampu menjadi pemacu utama kepada pembangunan modal insan, inovasi dan kecemerlangan sukan negara pada masa hadapan. Akhir kata, menginovasi penyelesaian lestari dan Kerana Tuhan Untuk Manusia