Final Super School Rugby SSR Challenge Trophy pada Sabtu ini bukan hanya penentu pasukan mana bakal meraih slot ke Wildcard SSR Premier, bahkan ia penentuan juara kejohanan negeri mana lebih gah.
Pertembungan final itu mempertemukan juara MSS Negeri Sembilan, iaitu SMK King George V (KGV), dengan juara MSS Kelantan, Sekolah Menengah Sains Machang (SMACH).
Advertisement
Meskipun berdepan kekangan melibatkan tempoh latihan disebabkan faktor cuaca serta jadual sekolah yang padat, jurulatih KGV, Mohd Hafiz Alldin, menyifatkan kesemua pemainnya sudah bersedia memberikan aksi 100 peratus dan tidak akan mensia-siakan peluang yang terhidang.
Hafiz percaya kemenangan mampu diraih anak buahnya jika berdisiplin dalam melaksanakan taktikal permainan selain terus memperkukuh aspek pertahanan.
"Kami sama-sama pasukan baru dalam SSR melalui Challenge Trophy ini tetapi jangan pandang mudah pasukan lawan," katanya kepada wartawan Astro Arena, Ainul Abd Rouf.
"Saya mahu pemain saya berhati-hati, bertahan sebaik mungkin, ikut corak permainan, jaga disiplin dan Insya-Allah, mereka akan menang."