Ketua Jurulatih Boling Padang Kebangsaan, Fairul Izwan Abd Muin, tetap menaruh keyakinan tinggi terhadap barisan pemain berpengalaman untuk menggalas cabaran negara dalam Sukan Komanwel 2026 di Glasgow.
Biarpun keputusan perlawanan percubaan semalam menyaksikan beberapa kejutan terhasil seperti kekalahan Izzat Shameer Dzulkeple dalam acara perseorangan lelaki, serta gandingan baharu program podium, Nur Syafira dan Nurul Balqis berjaya mencipta kejutan membanggakan dengan melakar kemenangan.
Advertisement
“Berdasarkan perlawanan tadi, walaupun Izzat kalah, dia masih mengekalkan prestasi yang baik, hanya dipisahkan menerusi perlawanan penentuan ‘tie-break’.
“Bagi acara pairs lelaki pula, mereka mengekalkan kemenangan manakala Emma Firyana kembali mencatat kemenangan dengan menewaskan pasangannya ketika kejohanan Piala Dunia sebelum ini,” katanya.
Fairul tidak melihat keputusan itu sebagai sesuatu yang membimbangkan kerana pemain pilihan masih mempamerkan corak permainan konsisten selain persaingan sihat yang ditunjukkan dalam kalangan atlet.
“Ia tidak bermakna saya akan menekan butang panik kerana masih ada masa dan beberapa kejohanan penting masih menanti termasuk Kejohanan Asia, kata Fairul.
Menurutnya, perkembangan itu juga membuktikan skuad negara memiliki kelompok pemain berkualiti tinggi sekali gus memberi lebih banyak pilihan menjelang penetapan senarai akhir ke temasya itu Julai ini.
“Daripada situ kita boleh menilai prestasi mereka dengan lebih terperinci.
“Kita juga melihat atlet muda memberi saingan sengit dengan cuba memberi tekanan kepada pemain berpengalaman supaya tidak mengambil mudah setiap perlawanan dan bagi saya situasi ini adalah persiapan terbaik untuk semua atlet,” katanya lagi.