Presiden Persatuan Teqball Malaysia (MTA), Siva Kumar Jakarathan, gusar apabila masih tiada lagi venue latihan tetap buat skuad teqball negara menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya pada September ini.
Selain masalah kekurangan dana ekoran ia merupakan sukan yang baru meningkat naik di Malaysia, kemudahan fasiliti tidak tetap menjadi faktor yang mampu mengganggu persiapan kem negara ke Jepun.
Advertisement
Bagaimanapun, ia bukanlah titik noktah buat teqball Malaysia kerana persatuan mempunyai pelan B untuk memastikan Malaysia mampu meraih keputusan positif dan menepati sasaran yang ditetapkan.
"Kami memerlukan satu rumah teqball untuk jangka masa panjang.
"Kami hanya dapat menggunakan dewan di kebanyakan tempat untuk beberapa hari sahaja.
"Kami mahu pemain dari bola sepak, sepak takraw atau sesiapa mencuba teqball ini.
"Kami sememangnya mahu menyertai semua kategori yang dipertandingkan," katanya di Nadi Arena.
Sementara itu, sesi pemilihan pemain akan dijalankan secara progresif bermula selepas perayaan Aidilfitri dan beberapa pemain muda dijangka memperkuat pasukan untuk mencapai misi tersebut.
Proses saringan turut melibatkan bekas pemain sepak takraw serta bola sepak yang disifatkan sudah memiliki kemahiran asas teqball, sekali gus hanya memerlukan masa untuk menggilap bakat dengan lebih terperinci.