Lebih daripada sedekad, Yayasan Sime Darby (YSD) dengan bangganya menyokong pertumbuhan arena lumba basikal trek Malaysia—bermula daripada menyokong atlet elit merentasi tiga kitaran Sukan Olimpik sehinggalah membuka peluang buat pelumba muda menerusi Siri Trek dan BMX YSD.
Sejak dilancarkan pada tahun 2022 dengan kerjasama SportExcel, dan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) sejak tahun 2026, YSD telah melaburkan sebanyak RM2.7 juta ke dalam Siri berkenaan, sekali gus menyokong lebih daripada 4,300 pelumba remaja dalam lebih 50 perlumbaan.
Inisiatif ini telah memainkan peranan penting dalam memberikan pendedahan, pengalaman, serta kelebihan daya saing yang diperlukan oleh pelumba muda untuk terus maju dalam sukan ini.
Impaknya kini sudah mula terbukti. Siri ini telah membantu melahirkan bakat-bakat meningkat naik seperti Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, yang berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 pada usia seawal 20 tahun.