Ketua jurulatih Selangor, Kim Pan-gon, percaya resepi keampuhan di bahagian pertahanan mampu menjadi kunci kemaraan mereka ke perlawanan akhir Piala Shopee Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC).
Pan-gon menolak untuk berkubu di tempat sendiri demi mengekalkan kedudukan 2-1 hasil pertemuan pertama separuh akhir ACC minggu lalu, lantas menuntutnya mencari formula seimbang dalam kunjungan timbal balik ke gelanggang keramat Nam Dinh, Stadium Thien Truong, esok.
Advertisement
"Kami mempunyai barisan pertahanan yang sangat ampuh,baik secara individu mahupun berpasukan.
"Andai mahu mencapai kemenangan esok, kami tidak akan hanya mahu mendapatkan satu gol pendahuluan, pertahanan kami juga perlu ampuh.
"Pertahanan kami akan menyukarkan (hasrat) buat Nam Dinh," katanya dalam sidang media pra-perlawanan di Vietnam, sebentar tadi.
Malah, pengendali dari Korea Selatan tersebut yakin perlawanan itu tidak perlu diheret ke masa tambahan jika percaturan terutama pertahanan berjalan lancar.
"Penyerang perlu bantu redakan tekanan di bahagian benteng. Kami perlu seimbang dalam soal bertahan dan menyerang.
"Kami perlu fokus dan tidak boleh melepaskan peluang ke final," katanya lagi.
Safuwan Baharuddin -- yang kembali daripada pinjaman sejak Januari lalu -- menjadi sosok penting prestasi Gergasi Merah di bawah asuhan Pan-gon sedia menggalas tanggungjawab besar, lebih-lebih lagi atas kecemerlangan merantai pergerakan pemain naturalisasi skuad Naga Emas, Nguyen Xuan Son.
"Kami berpengalaman untuk menangani situasi tertentu. Ia akan jadi malam yang panjang memandangkan kedua-dua pasukan mempunyai kemampuan untuk menyajikan aksi menarik.
"Fokus utama adalah melakukan apa yang perlu untuk melangkah ke final.
"Dengan kualiti yang dimiliki Nam Dinh dan biarpun berjaya mengekang penyerang mereka, ia akan menjadi satu pertembungan yang sengit.
"Saya pernah beberapa kali bertemu Son dan dia merupakan antara salah seorang penyerang terbaik yang pernah saya hadapi.
"Ini pentas terbesar untuk kami serlahkan bakat, platform terbesar di rantau ini.
"Kami belum mencapai sebarang kejayaan musim ini dan kegagalan bukan bermakna kami semakin terkebelakang.
"Kami telah buktikan kualiti yang dimiliki dan mempunyai kesempatan terakhir untuk ke final dan dengan segala persiapan, kami perlu beraksi baik," katanya.