Pelumba Honda Asia-Dream Racing, Muhammad Zaqhwan Zaidi, enggan menoleh ke belakang menjelang perlumbaan pusingan kedua Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang minggu ini.
Ini selepas dia terlepas peluang meraih podium dalam dua perlumbaan pertama di Litar Antarabangsa Sepang bulan lalu.
Advertisement
Zaqhwan, yang sekadar menduduki tempat ke-5 dan ke-4 dalam pusingan pertama, tekad untuk bangkit mempamerkan kemampuan sebenarnya hujung minggu ini.
Penyertaannya dalam Malaysia Superbike Championship (MSBK) minggu lalu banyak membantunya dalam menguji dan menambah baik pelarasan jentera.
Menurutnya, dia dan pasukannya sudah mengenal pasti beberapa kelemahan kritikal dan mencari jalan penyelesaian yang berkesan.
Antara isu utama yang diatasi ialah masalah berkaitan tayar yang sering menjejaskan prestasinya pada pertengahan perlumbaan.
Selain itu, dia kini lebih memahami karakter jenteranya selepas menyesuaikan diri dengan sistem kawalan enjin (ECU) baharu yang digunakan.
"Sasaran saya sudah pasti untuk memburu kemenangan pertama selepas saya gagal menduduki podium di Sepang," katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Zaki Zainal.
"Saya akan berusaha sekali lagi untuk mendapatkan podium dan kemenangan pertama kali ini.
"Saya akan mencuba sehabis baik untuk mengimbas kembali pengalaman saya di sini.
"Saya mahu menjadi juara sekali lagi di sini dan kalau boleh saya mahu menang semua perlumbaan."